BN rasuah di siang bolong - Presiden PAS

JASIN, 3 Mac: PAS menyifatkan Umno BN secara terang-terangan melakukan rasuah politik pada pilihan raya kecil (PRK) Merlimau dengan menjanjikan pelbagai bantuan kepada pengundi yang memilih mereka.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang  berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam bahawa bantuan hanya diberikan kepada pengundi yang menyokong Umno BN.
Menurut Abdul Hadi, pimpinan Umno BN tidak seharusnya membuat janji sedemikian kerana rakyat berhak memilih parti mana dalam amalan demokrasi.
"Kenyataan itu menunjukkan amalan rasuah politik yang diamalkan dalam pemilihan Umno, diamalkan juga pada pilihan raya.
"Mengikut amalan demokrasi, Tengku Abdul Rahman dahulu, bila pilihan raya beliau cuti dari jawatan Perdana Menteri dan turun berkempen sebagai Presiden Umno.
"Di negara lain pun begitu juga sebab pilihan raya ini parti dengan parti yang bertanding, bukan parti bertanding dengan kerajaan," kata beliau ketika ditemui di majlis minum petang bersama jentera dari Selangor di Kampung Chinchin petang semalam.
Diminta mengulas mengenai kenyataan Ali Rustam "PAS jangan bermimpi untuk menang di Merlimau", beliau mengingatkan Ketua Menteri itu bahawa tidak ada kerajaan yang kekal berkuasa selama-lamanya.
"Orang Islam diajar mimpi ada betul dan ada yang salah. Nabi Yusuf pernah bermimpi dan mimpi dia betul.
"Islam mengajar mimpi ini satu juzuk daripada ilham yang Tuhan beri. Ada mimpi dari syaitan, ada mimpi betul dan kita tak tahu. Bila berlaku barulah kita tahu.
"Orang Islam diajar tak ada kerajaan yang kekal. Kerajaan yang kekal hanyalah kerajaan Allah Taala.
"Kerajaan Firaun tak kekal, kerajaan Nabi Sulaiman pun tak kekal. Kerajaan Nabi Muhammad SAW pun tak kekal," katanya.
Beliau sebaliknya yakin sokongan terhadap PAS akan bertambah pada PRK kali ini.
Namun tegasnya, ianya haruslah disokong dengan perjalanan pilihan raya yang adil dengan PAS diberikan ruang yang sama seperti BN untuk berkempen.
"Kita yakin sokongan bertambah walaupun pilihan raya yang tidak seimbang. Kempen PAS terhad berbanding BN yang boleh menggunakan media arus perdana, TV3, RTM masuk ke setiap buah rumah.
"Ini adalah jentera kerajaan yang tak patut digunakan. Kalau nak guna kena bagi peluang kepada kita juga, jangan BN sahaja," katanya.

No comments: