Syed Ibrahim calon BN PRK Kerdau

TEMERLOH:, 22 Feb:  Calon PAS akan berhadapan dengan 
Penasihat Agama Menteri Besar Pahang, Syed Ibrahim Syed 
Ahmad, 44 tahun, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan 
Undangan Negeri (Dun) Kerdau pada 6 Mac ini.
Pemilihan anak Kuala Tekal, Kuala Krau yang berkelulusan 
dari Universiti Al-Azhar itu diumumkan oleh Timbalan Perdana 
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Sri Ketumbit,
Kerdau, petang tadi.
Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN itu, berkata Umno 
meletakkan Syed Ibrahim kerana percaya beliau mampu 
mempertahankan kerusi yang dimenangi BN pada pilihan 
raya umum (PRU) 2008 yang lalu.
Pengumuman itu sekaligus menjawab teka-teki calon dipihak 
Umno yang bakal bertanding dalam PRK Kerdau ekoran 
sebelum ini beberapa nama dikatakan berminat untuk mengisi 
tempat tersebut.
Selain Syed Ibrahim, antara yang disebut - sebut mengintai 
peluang di situ bagi mewakili Umno ialah Rodzuan Zaaba 
(Ketua Pemuda UMNO Bahagian), Norahan Abu Bakar 
(Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian), Abdul Razak 
Ahmad (Setiausaha UMNO Bahagian), Mohd Arhan Salahuddin 
(Pembantu Tan Sri Muhyiddin Yassin), Datuk Redzwan Harun 
(bekas Adun Kerdau 2000 – 2008) dan Norhasmimi Abdul
Ghani (Ketua Puteri Kuala Krau).
Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya
Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN pada 12 Februari lalu.

Pada PRU lalu Zaharuddin menewaskan calon PAS, Hassanuddin 
Salim, dengan majoriti 1,615 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh
penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.
Sementara itu di pihak PAS, calon yang bertanding akan 
diumumkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
pada 24 Februari ini di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau.
PAS Pahang dikatakan telah menghantar tiga nama kepada PAS 
Pusat untuk dipilih mewakili parti dalam PRK tersebut.
 

No comments: