Qardawi penjenayah: Presiden PAS gesa Najib bertaubat


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR,
26 Feb:
 Datuk Seri
Tuan Guru Abdul
Hadi Awang mahu
Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib
Razak segera
bertaubat ekoran
melabel Ikhwanul
Muslimin dan Sheikh
Dr Yusof al Qardhawi 
sebagai pengganas.

Presiden PAS itu dalam
satu kenyataan berkata,
beliau berasa sangat
terkejut, kecewa dan
teramat jengkel dengan
tuduhan ekstrem yang
diberikan Najib terhadap gerakan Islam antarabangsa itu.

"Tuduhan bahawa Islam cenderung kepada keganasan adalah
fitnah dan orang tersebut mesti segera bertaubat jika dalam dirinya
masih ada iman sebesar zarah," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Najib sewaktu berucap pada satu program
di Istanbul beberapa hari yang lalu.

Tambahnya, tuduhan yang dibuat Najib itu juga merupakan satu
fitnah besar yang dibuat oleh golongan yang buta sejarah perjuangan
menentang penjajahan dan bercakap mengikut selera hati golongan
barat yang memekakkan telinga kepada kebenaran.

Beliau menegaskan, tindakan mengambil sikap dan pandangan
setiausaha negara Amerika sebagai neraca menentukan jenis
pemerintahan yang bersandarkan kepada Islam adalah tindakan
orang yang tidak mempunyai jati diri sebagai seorang Islam dan
sangat memalukan orang Islam itu
sendiri.

Ikhwan katanya, ditubuhkan untuk melaksanakan Islah dan tajdid
berasaskan Al Quran dan Hadis, dengan memulakan perjuangan
nya secara jalan damai dan tidak pernah menyerah kalah terhadap
kezaliman musuh sehingga ke hari ini.

Mereka menyertai pilihanraya sejak awal lagi di Mesir, tetapi
apabila pengaruh mereka tersebar luas, pergerakan ini diharamkan
dan pemimpinnya dizalimi.

Manakala Al Qardhawi pula adalah tokoh ulama berwibawa yang
dilahirkan oleh Ikhwan.

"Dia berjaya meredakan golongan pelampau di kalangan pemuda
Islam yang tidak sabar dengan kezaliman musuh sehinggalah mereka
kembali ke pangkal jalan berjuang mengikut ajaran Islam yang
sebenar," katanya.

Malah Malaysia sendiri katanya pernah memberikan Anugerah Maal
Hijrah kepada beliau.

"Saya mencabar kerajaan Malaysia menarik balik anugerah maal
hijrah yang telah diberikan kepada Sheikh Dr Yusof al Qardhawi
itu," cabarnya.

No comments: